Wasiat ertinya iqrar seseorang yang dibuat pada masa hayat ke atas hartanya untuk disempurnakan selepas kematiannya bagi maksud kebajikan yang dibenarkan menurut Hukum Syarak.
Ramai di kalangan umat Islam menganggap tiasa kepentingan menulis wasiat kerana jita sudah ada sistem faraid yang akan membahagikan bahagian untuk setiap waris. Maka tidak hairanlah kesedaran dalam penulisan wasiat masih rendah di kalangan umat Islam.
Wasiat pula bukan hanya semata-mata untuk pembahagian harta. Ianya juga untuk penyelesaian hutang si mati dengan meninggalkan pesanan kepada waris. Pengurusan harta pusaka perlu dibuat dengan berhemah, bagi menggelakkan sebarang pengeseran di kalangan ahli keluarga yang seterusnya dapat memutuskan hubungan silaturrahim.
Selain daripada itu, ada waris yang tidak menuntut harta pusaka kerana tidak tahu berkenaan status harta tersebut. Inilah sebab pentingnya penulisan wasiat kerana si mati akan memperincikan harta kepunyaannya untuk pengetahuan semua waris. Ada juga di kalangan kita yang tidak menulis wasiat kerana tidak tahu prosedur penulisan wasiat dan dekat mana ianya perlu dirujuk.
Hibah Dalam Islam
Hibah dari segi bahasa bermaksud pemberian sama ada dalam bentuk ain atau selainnya. Ia merangkumi hadiah dan sedekah. Ketiga-tiga istilah ini mempunyai pengertian yang hampir sama.
Perbezaannya dari aspek tujuan pemberian itu, di mana sedekah ialah suatu pemberian yang bertujuan untuk mendapat pahala di akhirat dan ia biasanya dari yang kaya kepada yang miskin.
Manakala hadiah pula ialah pemberian untuk memuliakan seseorang dan biasanya ia ada hubungkait dengan sesuatu perkara.
Dengan ini dapat dirumuskan bahawa setiap sedekah dan hadiah adalah hibah, tetapi bukan semua hibah adalah sedekah dan hadiah.
Hibah pada istilah syarak ialah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan (iwad).
Secara lebih khusus lagi, hibah ialah suatu akad pemberian milik ain harta daripada satu pihak kepada pihak yang lain tanpa balasan (iwad) semasa hidup secara sukarela, bukan mengharapkan pahala di akhirat dan memuliakan seseorang, dengan menggunakan lafaz ijab dan qabul atau seumpamanya.
Berdasarkan definisi di atas, dapat disimpulkan ciri-ciri hidah adalah seperti berikut:
- Suatu akad pemberian milik harta kepada sesuatu pihak.
- Harta yang boleh dihibah ialah ain harta, bukannya hutang atau manfaat.
- Akad hibah dibuat tanpa mengenakan sebarang balasan (iwad).
- Akad hibah berkuat kuasa semasa hidup pemberi hibah.
- Ia dibuaT secara sukarela tanpa paksaan.
- Akad dibuat bukan bertujuan untuk mendapat pahala atau memuliakan seseorang tertentu.
Hukum Dan Pensyariatan Hibah
Dari segi hukum, hibah adalah suatu amalan yang sunat dan digalakkan dalam Islam terutama sekali kepada kaum keluarga terdekat. Amalan ini adalah berdasarkan kepada al-Quran, al-Sunnah dan ijmak. Antara ayat al-Quran yang menggalakkan amalan hibah ialah sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin itu dengan senang hati, makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedaplagi baik akibatnya” (Surah al-Nisa’ ayat 4).
Harta Sepencarian
Apakah yang dimaksudkan dengan harta sepencarian?
Harta sepencarian ialah suatu harta, sama ada harta alih atau harta tak alih, yangdiperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. Harta itu juga termasuklah harta yang diperoleh sebelum mereka berkahwin tetapi telah dimajukan atau ditingkatkan nilainya dalam masa perkahwinan hasil usaha bersama atau sumbangan bersama mereka.
Apakah perkara yang diambil kira dalam menentukan harta sepencarian?
Harta sepencarian yang diperoleh dalam masa perkahwinan itu dinilai dari dua perkara iaitu –
- sumbangan secara langsung bermaksud pihak-pihak kepada perkahwinan itu telah sama-sama memberikan sumbangan mereka dalam memperoleh aset dan harta berkenaan. Pasangan ini sama-sama mengeluarkan modal dan wang bagi membeli aset dan harta berkenaan.Sebagai contohnya, pasangan suami isteri mempunyai kerjaya masing-masing, telah sama-sama membeli aset dan harta berkenaan secara ansuran yang pihak suami telah membuat bayaran pendahuluan dan pihak isteri pula membuat bayaran ansuran bulanan. Mereka berkongsi bersama-sama dan memberi sumbangan wang, modal dan sebagainya secara langsung daripada pendapatan mereka bersama.
- sumbangan tidak langsung bermaksud suatu sumbangan yang bukan berbentuk wang atau benda tetapi mendatangkan dan menghasilkan harta atau aset tertentu. Sumbangan ini, sama ada melalui idea, dorongan, nasihat, memberi semangat, menjaga keselesaan, menimbulkan ketenteraman dan sebagainya kepada pasangan satu lagi yang berusaha secara langsung dan berjaya mendapatkan harta dan aset itu.
Siapakah yang berhak menuntut harta sepencarian dan bilakah tuntutan boleh dibuat?
Tuntutan harta sepencarian boleh dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah oleh suami atau isteri atau ahli waris –
- semasa tuntutan poligami;
- selepas perceraian; atau
- selepas kematian pihak suami atau isteri (oleh ahli waris).