Skip to content

Apakah beza antara Hibah dan Faraid?

Hibah maksudnya “pemberian” sama ada dalam bentuk barangan yang nyata atau tidak. Hibah juga boleh memberi erti “hadiah” atau “sedekah”. 

Kalau dilihat dari pandangan syarak Islam pula, hibah adalah satu instrumen perancangan pengagihan atau pemberian harta yang sah.

Islam menggalakkan penganutnya menggunakan kaedah ini bagi mengelakkan sebarang pertikaian yang mungkin terjadi di antara keluarga, saudara mara dan pewaris apabila berlakunya kematian.

Faraid pula dari segi bahasa bermaksud ‘ketetapan’.Menurut istilah syarak, faraid adalah pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang Islam yang telah ditetapkan di bawah Hukum Syarak ke atas waris-waris yang sah dan layak seperti (anak,isteri,suami,ibu,bapa dan lain-lain).Secara ringkasnya, faraid merupakan satu tatacara pengagihan harta pusaka orang Islam.

 

Apakah Beza Hibah dan Faraid?

Persoalan yang akan timbul di sini adalah kenapa kita perlu hibah sedangkan kita ada faraid, yang juga adalah pembahagian harta mengikut syarak. Jadi mari kita lihat apakah perbezaan antara hibah dan faraid supaya kita semua tidak keliru.

Hibah Faraid
Hibah adalah pemberian hadiah yang dilakukan atas dasar kasih sayang kepada ahli keluarga atau bukan ikhlas kerana Allah.

 

Sesiapa yang ingin menghibahkan harta digalakkan untuk mendapat pengesahan daripada Mahkamah Syariah atau mana-mana institusi perunding harta pusaka Islam dan perlu dibuat secara bertulis.

 

Hibah adalah pemberian harta sebelum berlaku kematian.

Faraid adalah pembahagian harta atau pusaka mengikut perundangan Islam kepada waris yang sah dan layak.

 

Sekiranya seseorang meninggal dunia tanpa wasiat atau hibah, semua harta si mati yang dinamakan sebagai harta pusaka akan diagihkan mengikut hukum faraid.

 

Faraid adalah pembahagian harta selepas berlaku kematian.

 

Adapun kedua-dua instrumen ini bertujuan untuk  memudahkan pengurusan harta pusaka,namun perlu diingatkan bahawa kita dilarang melakukan hibah dengan bertujuan semata-mata  untuk mengelakkan daripada faraid (kerana merasakan pembahagian faraid adalah tidak adil).Sebaliknya,lakukanlah hibah atas dasar rasa kasih sayang serta ikhlas kerana Allah.

Samada hibah atau faraid,kedua-duanya adalah instrumen yang boleh kita gunakan untuk memudahkan pengurusan harta sama ada sebelum atau selepas kematian. Oleh itu,masyarakat hendaklah diberi pendedahan ilmu serta  kefahaman sebenar tentang penghayatan dan pelaksanaan faraid dan hibah supaya matlamat dan objektif kedua-duanya dapat dicapai dengan sempurna.Kesimpulannya,pelaksanaan hibah bukanlah satu cara untuk mengelak apatah lagi mengenepikan faraid tetapi hibah adalah bertujuan untuk melengkapkan faraid itu sendiri.

Sumber rujukan:

  • Norhanisah Johar (2019) “Faraid Mudah Faham”
  • https://www.propertyguru.com.my/property-guides/maksud-hibah-cara-hibah-rumah-41826

 

 

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *