Skip to content

Harta dunia Vs Harta akhirat

Pegangan Islam yang luntur atau dakwaan kononnya “akulah yang paling mengerti tentang selok belok agama atau apa yang terbaik untuk waris-waris lain”, hawa nafsu dan kecintaan yang sangat ekstrim terhadap harta dunia adalah antara faktor mengapa banyak urusan pembahagian harta pusaka yang menjadi lintang pukang dan tidak berkesudahan.

Disamping itu, kita kadang-kadang bergantung kepada ilmu kita yang sangat cetek atau kepada apa yang orang lain khabarkan kepada kita, maka kita terus membuat kesimpulan terburu-buru dan boleh membawa penyesalan kemudian nanti.

Sampai bilakah kita ingin melihat institusi keluarga Islam dan masyarakat Islam berantakan dan retak dari dalam hanya disebabkan harta yang sangat sementara sifatnya dan tidak akan kekal berada di dalam tangan kita?

Belum tiba lagikah saat dan ketikanya kita lebih mengutamakan pertanggungjawaban, kejujuran, amanah, kasih sayang dan silaturrahim sesama anggota keluarga dan sanak saudara?

Sudahkah kita sediakan jawapan-jawapan dan alasan-alasan yang secukupnya ketika diadili di Mahkamah Akhirat nanti tentang tugas dan tanggungjawab kita berhubung harta pusaka ini?

Junjungan Nabi Muhammad (s.a.w) pernah berpesan dan mengingatkan kepada kita tentang punca umat Islam menjadi lemah dan tidak lagi digeruni musuh, meskipun bilangan kita lebih ramai.

Kekuatan, jati diri dan kesepakatan antara kita boleh dimusnahkan hanya kerana dua faktor sahaja:

Kecintaan yang terlalu mendalam terhadap Dunia dan ketakutan teramat sangat terhadap Kematian.

Harta dunia akan habis juga akhirnya. Akan tetapi hubungan kekeluargaan yang musnah dan hancur sukar dipulihkan.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *